Thursday 14 February 2013

Rahmat Ujian

Ujian adalah tarbiyah dari Allah. Setiap manusia menjalani tarbiyah yang berbeza, bergantung atas kemampuannya. Sedar atau tidak, ujian-ujian inilah yg membentuk diri kita. Ujian itu, sebenarnya adalah rahmat yang akan dapat dilihat oleh sesiapa yang menggunakan hati untuk melihatnya.

Teringat kisah waktu kecil-kecil dulu. Nikmat berjalan pernah ditarik seketika kerana satu penyakit. Nerve-system problem. Entah apa nama sebenar penyakit ini.  Saya tidak mampu untuk berdiri dan perlu diangkat untuk ke mana-mana. Alhamdulillah, ketika mula belajar di tadika, kaki sudah boleh digerakkan. Namun kadangkala akan terjatuh tiba-tiba dan terpaksa dipapah untuk duduk. Entah berapa kali pergi ke klinik itu dan ini. Tak pernah saya betul-betul faham apa penyakit yang dialami sebenarnya. Sehinggalah sekarang.

Tapi alhamdulillah, syukur pada Allah kerana memberikan saya kekuatan. Sekarang dapat berlari, berjalan hingga berkilo-kilo meter, malah mendaki bukit berkali-kali. Walaupun hakikatnya mengambil risiko yg tinggi disebabkan sakit ini masih ada & akan datang tanpa dijangka. Kebiasaannya setelah berjalan jauh ataupun mendaki bukit, kesannya pada saya akan berganda berbanding kawan-kawan yang turut bersama. 


Apapun, moga Allah akan sentiasa membantu saya agar dapat terus menggerakkan kaki ini bagi meneruskan langkah dalam perjalanan hidup yang mungkin masih panjang ini. Moga saya dapat terus berjalan tanpa henti dalam perjuangan meredah segala macam yang menanti.

Di sebalik ujian-ujian yang dihadapi, terlalu banyak lagi sebenarnya nikmat yg Allah kurniakan kita sehari-hari. Tinggal kita saja yang perlu membuka mata untuk melihatnya. Lihat dengan hati, biar ketika kita hendak melakukan apa yg dilarangNya, kita rasa malu bila mengenangkan apa yang telah diberi.  




No comments:

Post a Comment